Kerajaan penakut saja yang takut demonstrasi

Jamilah Kamarudin | June 20, 2012
Salahuddin Ayub berkata, demonstrasi jalanan satu cara demokrasi yang sihat dan boleh berakhir dengan aman sekiranya polis tidak bertindak melepas gas pemedih.
PETALING JAYA: Demonstrasi jalanan tidak bertujuan untuk menggulingkan kerajaan, sebaliknya menjadi salah satu cara membentuk sistem demokrasi tulen dalam negara.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, demonstrasi jalanan satu cara demokrasi yang sihat dan boleh berakhir dengan aman sekiranya polis tidak bertindak melepas gas pemedih mata dan menyebabkan keadaan bertambah huru-hara.

Katanya, hanya kerajaan penakut sahaja yang takut demonstrasi jalanan kerana menganggap botol air mineral dan garam mampu menggulingkan kerajaan.

“Kadang kala demokrasi lahir daripada demonstrasi aman tanpa sebarang keganasan dan senjata,” katanya semasa Debat Sinar di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf malam tadi.

Beliau menegaskan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat punca keganasan Bersih 3.0, sekaligus menolak penubuhan Panel Penasihat Bebas yang diketuai bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar.

Diterima pakai
Menurut Naib Presiden PAS ini, demontrasi kini sudah diterima pakai sebagai medium untuk rakyat menyuarakan pendapat apabila pihak Barisan Nasional (BN) dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kerajaan turut melakukannya.

“Sebagai contoh Umno Pulau Pinang sekarang ni dah belajar cara untuk jadi pembangkang. Hari-hari buat demonstrasi. Tetapi kerajaan Pulau Pinang dan Selangor berikan hak itu dan tidak ada gas pemedih mata,” katanya.

Sementara dalam debat “Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi” itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah pula membidas dengan menegaskan demonstrasi bukanlah cara terbaik mengukuhkan demokrasi jika keselamatan awam menjadi taruhan.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita tak mahu ambil risiko yang menggadaikan ketenteraman awam.

“Persoalannya bukan boleh demonstrasi atau tidak tetapi adakah ia mengukuhkan demokrasi yang berfungsi, saya tak nampak jalan itu,” katanya.

`Bukan Firaun’
Katanya, ada pelbagai cara yang boleh diambil rakyat selain demonstrasi untuk membolehkan suara mereka mereka didengari kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Nak kukuhkan demokrasi bukan begini caranya kerana ini bukan Firaun yang kita hadapi,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin menjamin sekiranya Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, perkara pertama yang dilakukan adalah menghapuksn undang-undang rimba serta-merta dan akan meyuburkan budaya demokrasi tanpa menyentuh mana-mana sensitiviti hak dan agama rakyat.

“Apa yang paling penting berikan kebebasan demokrasi kepada rakyat. Kita akan beri standard prosedur operasi (SOP) yang profesional kepada PDRM, iaitu tiada gas, tiada belantan,” katanya.

Beliau berkata Pakatan juga akan memberi hak yang sama kepada BN  dan mendakwa mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad juga pernah mencari pentas PAS untuk berceramah pada tahun 70-an.

No comments: